Top Ad unit 728 × 90

INSTITUT USAHAWAN ISLAM (IUI)

  PENDAHULUAN

Institut Usahawan Islam (IUI) adalah sebuah institut yang menyediakan perkhidmatan perundingan, pendidikan, latihan dan kursus keusahawanan untuk golongan usahawan Islam dan mereka yang berminat menceburi bidang perniagaan, perkhidmatan, perdagangan dan perindustrian sebagai kerjaya.



MATLAMAT

Matlamat IUI ialah untuk berusaha melahirkan barisan usahawan Islam yang berjiwa besar dan bertakwa, berpengetahuan luas dalam bidang perniagaan, waraq dan sanggup berkorban bagi memperjuangkan jihad ekonomi Islam demi menegakkan agama Allah.

Kami di IUI mendokong jihad ekonomi Islam dengan menjadikan sunnah Nabi sebagai model perniagaan, bukan sahaja untuk menjadikan perniagaan sebagai satu kerjaya tetapi juga bagi memenuhi tuntutan fardhu kifayah demi memenuhi keperluan umat Islam.



Kami membina satu model perniagaan berdasarkan sunnah Nabi yang kami panggil Model UKHWAH  bagi melahirkan barisan ushawan yang SOLEH, TAWADUK, BERTAKWA, berjiwa Islam dan berjiwa besar untuk membangunkan ekonomi Islam serta menyumbang kembali kepada kemajuan Islam demi mengejar keridhaan Allah SWT.



FALSAFAH KAMI

Melahirkan barisan usahawan Islam yang soleh, bertakwa, waraq dan berjiwa besar mengikut sunnah Nabi dengan menjadikan perniagaan sebagai satu kerjaya bagi mengangkat ekonomi umat Islam dan menyumbang kepada kemajuan syiar Islam.

MOTO

Moto kami adalah ‘Ukhwah dan persaudaraan Islam dalam perniagaan’.

MENGAJAK

Kami mengajak seluruh umat Islam menyokong usaha kami dan bersama kami menjayakan perjuangan besar ini.

Kami mengajak saudara-saudara Islam kami untuk bersama-sama kami membantu menjadikan perjuangan ini satu kenyataan dengan menyertai program-program anjuran kami.

Kami memohon semoga Allah SWT memberkati  usaha kita ini dan memberi balasan dan ganjaran yang besar kepada kita di akhirat kelak. Amin

KESEDARAN ISLAM

Sejak negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Malaysia terus bergerak maju dan mencipta banyak kemajuan dalam semua bidang termasuk dalam bidang pendidikan, kesihatan, sains dan teknologi, teknologimaklumat, sukan, perindustrian dan tidak terkecuali dalam bidang ekonomi dan pembangunan.

Kita berbangga sejak mencapai kemerdekaan, Malaysia terus mencatat kemakmuran dan pertumbuhan ekonomi yang pesat dalam bidang perniagaan, perdagangan dan perindustrian. Walaupun negara sering kali berdepan cabaran ekoran krisis ekonomi global, namun dengan kestabilan politik, keamanan dan kedudukan ekonomi yang mapan, Malaysia mampu melalui cabaran-cabaran itu dengan berjaya.

Bagaimanapun, kemajuan yang dikecapi oleh negara tidak diikuti dengan kemajuan yang dicapai oleh umat Islam di negara ini, kerana masih ramai umat Islam terutama orang Melayu dan bumiputera yang  hidup dalam kemiskinan dan ketinggalan dalam semua bidang termasuk pendidikan, perniagaan, perdagangan dan perindustrian berbanding kaum-kaum lain.

Secara umumnya, umat Islam di negara ini masih ketinggalan dalam bidang ekonomi dan perniagaan, perdagangan dan perindustrian, lebih-lebih lagi dalam bidang sains dan teknologi serta penyelidikan dan pembangunan.

Keadaan ini bukan sahaja tidak baik demi survival (kelangsungan) dan masa depan umat Islam di negara ini, tetapi juga tidak bagus untuk negara, kerana jurang perbezaan ekonomi yang besar dan ketara antara kaum di negara ini boleh mewujudkan perasaan tidak puas hati antara kaum, seterusnya boleh mengugat keamanan negara.

Sejarah telah membuktikan apabila tragedi 13 Mei 1969 yang mengorbankan banyak nyawa, berlaku berpunca daripada perasaan tidak puas hati antara kaum ekoran wujud jurang perbezaan ekonomi yang besar antara kaum ketika itu dengan orang Melayu dan kaum bumiputera ketinggalan begitu jauh dalam bidang ekonomi berbanding kaum Cina dan kaum-kaum lain.

Lantaran itu, kerajaan ketika itu melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi memperbaiki keadaan tersebut dengan melaksanakan pelbagai program bagi meningkatkan ekonomi orang Melayu dan bumiputera demi merapatkan jurang perbezaaan ekonomi antara kaum dan meningkatkan penyertaan mereka dalam bidang ekonomi terutama perniagaan, perdagangan dan perindustrian.

Sehubungan itu, kerajaan telah menubuhkan MARA dan agensi-agensi berkaitan yang lain serta  menyediakan pelbagai bantuan kepada golongan bumiputera untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan, perdagangan dan perindustrian selain membuka Institut Teknologi Mara (ITM) bagi menyediakan tempat untuk bumiputera melanjutkan pelajaran bertujuan melahirkan lebih ramai golongan profesional Melayu dan bumiputera.
Selain itu, banyak lagi usaha yang telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup orang Melayu dan bumiputera di negara ini, termasuk menyediakan pinjaman dan membuka lebih banyak pusat latihan bagi melahirkan lebih ramai golongan bumiputera yang mempunyai kemahiran bagi mempersiapkan mereka dengan ilmu untuk membolehkan mereka meningkatkan taraf hidup dan menceburi bidang perniagaan, perdagangan dan perindustrian. 
 
Namun, usaha itu masih tidak mencukupi dan orang Melayu dan bumiputera masih jauh ketinggalan dalam bidang ekonomi berbanding kaum-kaum lain terutama kaum Cina di negara ini.

Jika dikaji perangkaan dan bancian yang dikeluarkan mendapati pemilikan orang Melayu dan bumiputera masih rendah.

Bumiputera (%)                                                 1970     1975     1990     2008     2010     2017      

        1.     Harta/Aset                                                                                      
        2.     Bangunan kediaman
        3.     Kedai
        4.     Perniagaan
        5.     Ekonomi
        6.     Teknologi
        7.     Kilang
        8.     Ekuiti                                                                        2                    20

Salah satu matlamat DEB adalah untuk mengagihkan kekayaan negara secara saksama antara kaum di Malaysia dengan ekuiti bumiputera sebanyak 30 peratus, bukan bumiputera (40 peratus) dan penyertaan asing sebanyak 30 peratus. Tempoh rancangan ini bermula dari 1970 hingga 1990.
Ketika dasar ini mula dilaksanakan, ekuiti bumiputera ialah sebanyak dua (2) peratus dan selepas 20 tahun pelaksanaan dasar ini, ekuiti bumiputera hanya naik kepada 20 peratus.

Menurut Tun Daim Zainuddin yang bertanggungjawab menjayakan matlamat DEB pada tahun-tahun akhir pelaksanannya semasa menjadi Menteri Kewangan, ia merupakan pelaksanaan yang boleh dibanggakan kerana walaupun ia tidak mencapai sasaran asal sebanyak 30 peratus, ia merupakan pencapaian yang baik dalam sesebuah masyarakat majmuk.

Tan Sri Muhammad Ali Hashim, bekas Ketua Eksekutif Johor Corporation (Jcorp) berpendapat, ekuiti bumiputera yang sepatutnya dicapai ialah 65 peratus dan bukannya 30 peratus kerana jumlah penduduk Islam di Malaysia ialah sebanyak 65 peratus.

Menurut Dr. Syed Hussin Ali pula (2008) apa yang menjadi ukuran ekuiti bumiputera adalah termasuk:

 i.    Individu Melayu: Meliputi institusi yang menyalurkan kepentingan persendirian Melayu seperti       Amanah Saham MARA, dan Tabung Haji.
ii.   Kepentingan Melayu: Saham yang dianggap sebagai saham amanah oleh agensi seperti MARA (tidak termasuk Amanah Saham MARA), PERNAS, UDA, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN), Bank Bmiputera dan Bank Pembangunan (kini SME Bank).

Pada 1990 iaitu tahun berakhirnya tempoh pelaksanaan DEB, dianggarkan modal saham syarikat saham dalam syarikat berhad ialah RM80 bilion dan jika hendak menguasai 30 peratus ekuiti bumiputera Melayu, maka orang Melayu atau pemodal-pemodal Melayu perlu memiliki saham sebanyak RM24 bilion.
Pada 1970, hak milik modal saham Melayu hanya berjumlah RM126 juta, dan pada 1975 jumlah modal saham Melayu ialah sebanyak RM768 juta, kenaikan sebanyak RM128 juta setiap tahun.

Untuk mencapai RM24 bilion pada 1990, maka modal saham yang diperlukan ialah lebih RM23 billion yang mesti dikumpul dalam masa 15 tahun iaitu dari 1975 hingga 1990. Ini bermakna orang Melayu memerlukan modal saham sebanyak RM1.533 bilion setiap tahun untuk mencapai matlamat DEB pada akhir tahun 1990 (Dr. Syed Husin Ali, 2008).

Untuk mencapai hasrat pemilikan ekuiti bumiputera sebanyak 30 peratus ini, cadangan yang diutarakan oleh Dr. Syed Husin Ali (2008) ialah :

    i.    Mengumpul semua simpanan yang ada pada setiap orang Melayu untuk dijadikan modal. Namun anggaran yang boleh dibuat melalui cara ini akan menyebabkan akan lebih tersempit dari keadaan sedia ada. Ini sudah tentunya menyekat kebebasan dari segi ekonomi bagi kehidupan seseorang.

  ii.   Kerajaan mengeluarkan lebih banyak lagi pinjaman melalui bank atau badan tertentu. Akan tetapi, bagi mendapatkan pinjaman, ia memerlukan jaminan dan sandaran. Ini bermakna golongan tertentu sahaja yang boleh mendapatkan pinjaman.

   iii.   Untuk menaikkan peratusan modal orang Melayu, boleh dibataskan atau dihadkan sahaja   jumlah pelaburan oleh golongan bukan Melayu dan asing. Akan tetapi, ini boleh membunuh ekonomi negara kerana ia menyebabkan tentangan daripada golongan yang dibataskan dan ini secara tidak langsung ia akan menjejaskan kestabilan politik.
                                
     iv. Melaksanakan dasar milik negara. Ini bukanlah konsep milik negara yang diamalkan oleh golongan orang berfahaman komunis. Apa yang dikehendaki ialah cuma sesetengah sahaja daripada perusahaan dan perkhidmatan penting dimilik negara ataupun diambil alih oleh negara. Dengan melaksanakan dasar milik negara, ia lebih mudah dirancang agar keuntungan daripada perusahaan negara digunakan untuk pembangunan dan lebih banyak lagi penyertaan Bumiputera digalakkan dalam bidang-bidang perniagaan serta perusahaan yang dikuasai negara.

Sudah tentu, langkah ke-iv merupakan langkah paling berkesan untuk membangunkan ekonomi orang Melayu pada hari ini menurut beliau.

Sebenarnya, daripada jumlah 20 peratus ekuiti bumiputera, kira-kira 12 peratus daripadanya adalah dalam bentuk pegangan amanah dan beberapa institusi kerajaan. Ini sekali gus melindungi bumiputera daripada risiko sebenar perniagaan.

Mereka bukanlah orang yang berdaya usaha dan sanggup mengambil risiko. Mereka merupakan pelabur pasif dalam usaha niaga yang dijalankan oleh pihak kerajaan. Sikap dan mentaliti pasif bukanlah bentuk revolusi mental yang hendak dipupuk oleh kerajaan dalam masyarakat Melayu dan bumiputera melalui DEB. (Tun Dr. Mahathir, 2012).

Sehingga 2010, pemilikan ekuiti bumiputera pada nilai tara meningkat kepada 23.09 peratus iaitu berjumlah RM167.7 bilion berbanding 2008 iaitu sebanyak 21.9 peratus bernilai RM127.4 bilion. Angka ini diperoleh berasaskan keseluruhan ekuiti berjumlah RM726.4 bilion pada 2010 berbanding RM581.8 bilion pada 2008. Ekuiti bumiputera ini termasuk pemilikan individu, institusi kepentingan bumiputera seperti Tabung Haji (LTH) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan agensi amanah seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN).

Pemilikan ekuiti bumiputera tertinggi mengikut sektor adalah industri kewangan, insurans dan takaful yang meningkat kepada 37.56 peratus bagi 2009 dan 38.97 peratus pada 2010 dengan nilai pemilikan ekuiti bumiputera meningkat daripada RM53.35 bilion kepada RM65.37 bilion. Industri perdagangan borong dan runcit adalah industri yang mempunyai bilangan syarikat bumiputera tertinggi berbanding industri lain. Bagaimanapun, bilangan syarikat bumiputera menurun daripada 73,230 pada 2009 kepada 70,216 pada 2010.

Usaha memperbaiki jurang perbezaan ekonomi antara kaum itu tidak seharusnya diletakkan kepada bahu kerajaan semata-mata, maka IUI dan banyak lagi institusi dan organisasi lain yang seumpamanya tampil menyediakan ruang dan peluang bagi melahirkan lebih ramai orang Melayu dan bumiputera serta umat Islam yang berdaya maju dan berdaya saing untuk menceburi dunia perniagaan bagi meningkatkan taraf hidup mereka bagi memastikan kedudukan ekonomi orang Islam dan umat Islam di negara ini terus mantap.

Kemunculan institusi dan organisasi seumpama ini amat tepat pada masanya dan amat dialu-alukan bagi memberi pilihan kepada umat Islam untuk memilih tempat yang sesuai untuk mereka menimba ilmu pengetahuan tentang selok-belok perniagaan mengikut pilihan dan kemampuan mereka.

Usaha murni ini amat disanjung tinggi dan pihak kerajaan seharusnya memberi sokongan dan bantuan kepada institusi-institusi ini bagi membolehkabn mereka meneruskan usaha murni mereka membantu membangunkan orang Melayu dan bumiputera serta umat Islam dalam dunia perniagaan.

SURVIVAL UMAT ISLAM

Umat Islam di negara ini perlu menyahut seruan bagi bersama-sama membangunkan ekonomi ummah dengan menyertai bidang perniagaan, perdagangan dan perindustrian demi survival (kelangsungan hidup) bangsa Melayu dan umat Islam di negara ini.

Kedudukan ekonomi umat Islam yang mantap amat diperlukan bagi memastikan umat Islam di negara ini dapat hidup bermaruah, berdikari dan sekali gus mengukuhkan kedudukan Islam di negara ini. Begitulah sebaliknya, sekiranya ekonomi umat Islam di negara ini lemah dan mereka hidup miskin dan melarat, mereka pasti akan dihina dan sekali gus akan melemahkan kedudukan Islam di negara ini dan seterusnya boleh mengugat keamanan.

Dalam situasi ini, adalah menjadi tanggungjawab seluruh umat Islam melaksanakan fardhu kifayah bagi memperhebatkan penyertaan umat Islam dalam dunia perniagaan, perdagangan dan perindustrian.
JADIKAN usaha ini satu jihad ekonomi yang perlu disertai dan disokong oleh semua individu Islam, bukan sahaja daripada segi moral, malahan daripada segi sokongan, penyertaan dan bantuan kewangan. 
Usaha ini bukan sahaja perlu dijalankan secara berterusan dan dengan penuh keinsafan, untuk menarik lebih ramai umat Islam menyertai bidang perniagaan tetapi juga membantu mereka memperluaskan dan meningkatkan kemampuan mereka untuk menceburi bidang perniagaan yang lebih besar dan bertaraf dunia.

Bagi mencapai matlamat itu, setiap umat Islam harus berkerjasama bagi menjayakan usaha itu dengan memberi penekanan kepada tujuh inisiatif berikut:

      1.     Ada institusi

Selain institusi yang ditubuhkan oleh kerajaan, umat Islam juga perlu menyediakan kemudahan pusat latihan yang sesuai dalam semua bidang perniagaan bagi keperluan umat Islam untuk mengikuti kursus dan latihan bagi mendapatkan ilmu pengetahuan dan bimbingan dalam bidang perniagaan.
  
       2.     Ada umat Islam yang berminat

Umat islam perlu mempunyai kesedaran yang tinggi untuk menyertai bidang perniagaan tanpa perlu  menunggu orang lain untuk menyahut fardhu kifayah dan jihad ekonomi bagi membantu mengukuhkan ekonomi umat Islam.

Umat Islam bukan sahaja perlu ada kesedaran tetapi sudah bersedia untuk menceburi dunia perniagaan bukan sahaja menyertai bidang-bidang perniagaan konvensional tetapi menerokai bidang perniagaan yang baharu serta melibatkan diri dalam perdagangan dan perindustrian serta bidang import dan eskport serta bidang-bidang yang lebih mencabar, kreatif dan menggunakan sains dan teknologi serta memerlukan penyelidikan dan pembangunan termasuk dalam industri IT.

Ini penting bagi memastikan umat Islam mampu bersaing dengan kaum-kaum lain dan mampu menyediakan perkhidmatan dan perniagaan yang mencakupi semua aspek kehidupan bagi keperluan umat Islam.  

Hanya dengan cara ini, ekonomi umat Islam akan menjadi kuat, umat Islam mampu berdikari dan umat Islam dihormati oleh kaum-kaum lain.
         
            3.     Ada ilmu

Kesedaran tidak mencukupi, umat Islam perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan tentang selok-belok perniagaan bagi membolehkan mereka menceburi bidang perniagaan dengan lebih bersedia dan berjaya.

Jangan berhenti menimba dan mencari ilmu pengetahuan tentang perniagaan. Gunakan segala peluang yang ada, belajar daripada mereka yang berpengalaman dalam perniagaan, ikuti kursus dan latihan di mana-mana sahaja untuk mendapatkan ilmu perniagaan yang dikehendaki. Jangan kedekut untuk berbelanja sedikit bagi mendapatkan ilmu tentang sesuatu perniagaan.

      4.   Ada rangkaian

Peniaga-peniaga Islam juga perlu membina rangkaian atau networking bagi memastikan mereka terus bersaing dan mampu bertahan dalam industri. Networking perlukan kerjasama daripada peniaga-peniaga Islam yang lain. Tidak ada perniagaan akan dapat bertahan lama tanpa networking dan business base.

Peniaga Cina berjaya dan mampu bertahan kerana mereka mempunyai networking dan business base yang besar dan kuat. Mereka juga mempunyai kerjasama yang kuat untuk membantu satu sama lain dalam bidang perniagaan.

Peniaga Islam perlu mencontohi sikap dan semangat peniaga Cina yang suka tolong menolong, bekerjasama dan bersatu dalam membangunkan perniagaan mereka.

Mereka bersatu membina rantaian kerjasama dalam setiap jenis perniagaan darpadai usaha sekecil-kecilnya sehingga sebesar-besarnya sehingga menjadi satu networking yang kukuh yang seterusnya melindungi kedudukan mereka dalam perniagaan itu, dan sekali gus membolehkan mereka yang berada dalam rangkaian itu turut mencatat keuntungan.

Sikap tamak dan sombong harus dikikis daripada diri peniaga Islam, dan sifat buruk itu sebaliknya harus digantikan denghan sikap suka tolong menolong dan bekerjasama antara satu sama lain untuk membina networking perniagaan Islam, yang akhirnya akan membantu kemajuan perniaga-peniaga Islam.
       
             5.   Ada sokongan (membentuk pasaran)

Kemajuan sesuatu usaha dan perniagaan itu memerlukan sokongan daripada masyarakat Islam. Masyarakat Islam perlu mempunyai kesedaran dan keinsafan untuk membantu perniagaan umat Islam dengan menjadi pelanggan yang setia untuk membeli barangan dan perkhidmatan yang disediakan oleh peniaga Islam.

Tanpa sokongan masyarakat Islam, peniaga-peniaga Islam sukar untuk mengembangkan perniagaan dan pasaran mereka, begitulah sebaliknya dengan sokongan daripada masyarakat Islam, peniaga-peniaga islam dapat mengumpul modal dan mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Sokongan masyarakat Islam juga, sekali gus akan dapat membantu membentuk pasaran tersendiri untuk perniagaan Islam.

      6.     Ada perkembangan

Peniaga Islam juga harus mempunyai wawasan untuk mengembangkan dan memperluaskan  perniagaan mereka, sebagai contoh membuka lebih banyak cawangan daripada sebuah cawangan menjadi dua, tiga dan seterusnya atau meningkatkan keupayaan mereka daripada membuka kedia runcit kepada usaha membuka kilang memproses makanan, atau daripada bidang perdagangan berkembang kepada perniagaan import dan eskport.

Usaha memperluaskan perniagaan tidak seharusnya berhenti kerana ia satu jihad ekonomi, dan jihad ekonomi  merupakan satu ibadah dan tidak seharusnya berhenti separuh jalan, sebaliknya berterusan sehingga ke akhir hayat.

      7.     Ada pengabdian

Peniaga-peniaga Islam yang berjaya pula harus bersyukur dan kesyukuran itu boleh diterjemahkan melalui pembayaran zakat peniagaan, membuat amal dan kebajikan bagi membantu umat Islam lain yang memerlukan dan bersedekah serta infak harta dan rezeki yang dikuriniakan oleh Allah SWT kemabli di jalan Allah.

Mudah-mudahan dengan bersyukur itu nanti, Allah menggandakan lagi rezeki dan kejayaan peniaga-peniaga Islam dalam bidang perniagaan yang mereka ceburi dan membuka peluang pekerjaan kepada umat Islam.

HABIS



INSTITUT USAHAWAN ISLAM (IUI) Reviewed by IUI on 1:24 AM Rating: 5
All Rights Reserved by IUI © 2014 - 2015
Developed by Uchiha Hakimi

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.